Telah berlangsung Seminar & Latihan Pendidikan : Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Pendidikan – Guru Sebagai Arikitek Pembelajaran Masa Depan di Klana Resort, Seremban selama 2 hari iaitu pada 10 & 11 Oktober 2025
Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) telah membawa perubahan besar dalam dunia pendidikan. Bagi memperkasa guru menghadapi era digital ini, program Seminar & Latihan Pendidikan: Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan – Guru Sebagai Arkitek Pembelajaran Masa Depan telah diadakan dengan menampilkan Encik Yassir Asraf bin Noordin sebagai penceramah utama. Beliau merupakan tokoh yang berpengalaman luas dalam bidang teknologi pendidikan dan penerapan AI dalam proses pengajaran.
Dalam sesi perkongsian tersebut, Encik Yassir Asraf menekankan kepentingan guru memahami potensi AI sebagai alat bantu pembelajaran yang mampu memperibadikan pengalaman pelajar serta meningkatkan keberkesanan pengajaran. Beliau turut membimbing peserta tentang penggunaan aplikasi berasaskan AI dan pendekatan analisis data untuk mengenal pasti keperluan serta pencapaian pelajar secara lebih tepat dan sistematik.
Program ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang berteraskan nilai Ilmu, Ihsan dan Kesejahteraan. Encik Yassir Asraf menegaskan bahawa teknologi harus digunakan dengan seimbang dan beretika, agar kemajuan digital tidak mengabaikan nilai kemanusiaan. Pendekatan ini mencerminkan prinsip Keterangkuman, Kepercayaan dan Kesejahteraan yang menjadi tunjang kepada Malaysia Madani
NUTP Negeri Sembilan merakamkan setinggi tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta serta rakan strategik yang menyokong pelaksanaan program ini. Diharapkan ilmu yang diperoleh menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem pendidikan yang progresif dan mampan. Guru sebagai arkitek pembelajaran masa depan bukan sahaja membina ilmu, tetapi turut menyemai nilai-nilai madani demi kesejahteraan generasi akan datang.
Majlis penutup telah dirasmikan oleh Pengarah JPNS, Puan Khalidah binti Haji Omar
Tarikh : 10 & 11 Oktober 2025, Jumaat & Sabtu
Tempat : Klana Resort, Seremban
Penceramah : Puan Yusniza binti Mohd Yunus (Skim Kebajikan Takaful NUTP – Tony Ng Associates), Sdr. Haji Aminuddin bin Awang (Isu-Isu Semasa Pendidikan – Presiden NUTP Malaysia), Encik Yassir Asraf bin Noordin (Ceramah : Pengenalan Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Pendidikan dan Tools AI Sebagai Alat Bantu Mengajar (PDP) – Pegawai PPD Gombak) dan Puan Nurul Shuhaida binti Mohamed (Ceramah : Integriti Dalam Perkhidmatan Awam)















































































